Si dia tidur pada pukul 1.35 pagi. Aku tidur pada 1.40 pagi. 5 minit yang terakhir hidup aku pada hari itu aku guna untuk lihat si dia lena dalam fikiran aku. Lihat dia senyum, bebas dari masalah dan kerenah persekitarannya.
Apa yang aku suka tentang si dia sekarang bertambah. Si dia mula lebih patuh dan lebih setia. Mula kurang sibuk dan tahu menghargai masa. Kadang aku jadi malu kerana aku di sini sentiasa lapang tetapi tidak pula betul-betul menghargai masa.
Pada aku, bekerja separuh mati untuk orang lain adalah salah. Aku teringat bila aku mula-mula masuk kerja selepas aku habis SPM dulu. Bos aku kata kepada aku...
Saya tak kisah kamu mahu buat macam mana, saya hanya mahu tahu, ianya siap.
Dan sebab itu, aku riang setiap kali pergi bekerja. Dengan perjalanan kerja yang sistematik, aku dapat selesaikan semua kerja aku dan punya banyak masa untuk melahu. Huhu... Yang paling penting, kerja siap, bos tak marah.
Jika mahu kerja separuh mati, suka bekerja separuh mati. Bagi aku yang terbaik, kerja dengan diri sendiri. Bukan untuk bos kau, bukan untuk orang lain. Untuk diri sendiri. Jika kau anggap bekerja itu adalah peluang untuk belajar tentang sesuatu yang kau nak belajar, maka aku fikir itu baik. Sepertinya kau bekerja sendiri.
Namun jika tiada apa kau dapat dari kerja separuh mati melainkan duit gaji bulan-bulan. Aku sarankan sampai masa untuk kau berhijrah. Buat benda lain, atau kerja sekadar ianya siap dan baik. Masa selebihnya kau boleh berehat. Isi masa kau dengan isteri dan anak-anak.
Orang tanya, kenapa aku suka sangat pada duit. Aku jawab, kerana aku suka pada keluarga. Orang kata, duit akar kepada kejahatan. Dan sebab itu, kebanyakkan pergaduhan dalam keluarga adalah berkaitan dengan duit. Kau boleh fikir sendiri contohnya.
Aku merasa jelek dengan orang yang mengatakan duit tidak penting. Jelek bila melihat orang yang sama keluar pagi dan balik malam. Jelek melihat orang yang sama tidak punya masa untuk keluarga. Rasa jelek teramat. Kerana bagi aku orang seperti ini adalah hipokrit. Duit tidak penting, namun itulah yang dikejarnya seumur hidupnya.
Aku yakin, Allah tak jadikan manusia hanya untuk survive. Dia jadikan kita supaya kita punya masa berfikir tentangNya, tentang ciptaanNya, tentang nikmatNya. Jadi belajarlah untuk luangkan masa. Untuk adakan masa. Dan belajar untuk hargai masa.
Aku suka keluarga. Aku mahu jadi kaya yang secukup agar keluarga aku bebas dari belenggu duit. Aku tak suka kelahi, tak suka dimarahi. Aku hanya suka damai dan aman. Aku suka duit, kerana yang sebenar, aku sukakan keluarga.
Aku bersyukur, si dia mula sedar ini. Si dia keluar pagi tidak seperti pagi yang sebelumnya, pagi yang tidak terlalu awal. Dan balik pada awal waktu.
Aku gembira bila si dia mula sampai awal di rumahnya. Aku yakin, si dia mula pelajari sesuatu yang bermakna dalam hidupnya. Hidup bukan untuk kerja, hidup adalah untuk diri sendiri, untuk orang lain (keluarga) dan untuk Allah.
Melihat si dia, aku merasa sinis kepada diri sendiri. Kerana setiap perubahan si dia itu datang dari mulut-mulut aku sendiri. Aku harus kuat sikit bekerja. Agar aku juga mampu jadi seperti si dia, mula tahu menghargai masa.
Aku bangun pagi, pagi yang sama si dia bangun. Menulis ini. Mengingatkan aku yang si dia sedang terjaga menggunakan masanya dengan baik dari dahulu. Dan mengingatkan aku juga harus begitu menggunakan masa dengan lebih baik dari dahulu.
Aku ucap selamat, kepada si dia dan kepada kau, pembaca sekalian... Terima kasih...