Followers

Thursday, March 28, 2013

Tiada makna...

Aku pernah kata, aku harap post yang lepas adalah tulisan terakhir aku. Itu sedih. Kerana blog ini terlalu lama menjadi pustaka rasa hati aku, dan tentunya ruang fikiran aku. Tapi untuk menulis dalam keadaan aku yang tidak stabil dan mudah meletup itu tidak baik. Menampakkan kelemahan orang kata... tidak baik terutama kepada mata-mata musuh aku.

Aku ada musuh ke? ada... Talam dua muka. Ramai... Tapi cara aku hanya berdiam. Aku terlalu tua untuk angkat keringat dan berperang.

Dan bukan itu niat aku menulis. Masih kerana sebab yang sama. Aku penat baru-baru ni. Seperti tiada stamina. Aku sedang perah otak memikirkan idea dalam kerja aku, dan dalam masa sama buat kajian. Meng-ada-kan sesuatu yang tiada bukan senang.

Ditambah pula dengan sifat malas aku untuk bergerak dan beriadah. Tidak, aku tidak gemuk. Aku tidak makan banyak memandangkan aku sedar sifat malas aku. Hanya kadang aku buat senam ringan, supaya darah masuk ke dalam otak.

Penting... Supaya idea itu datang.

Jika aku tidak teringat si dia, aku senang bergembira. Atau beriadah, bermain dan lain-lain benda yang boleh membuang masa. Jika teringat, aku tidak tidur... aku berjaga dan bekerja dan cuba bekerja dengan harapan rasa rindu dan sedih dalam hati hilang. Dan syukur, ini satu-satunya cara untuk hilang rasa rindu dan sedih ini.

Benda yang aku usahakan tidak nampak hasil sangat. Namun aku lihat ada ruang untuk aku baiki dan memyempurnakan. Aku optimis, positif ini akan berhasil. Hanya perlu sedikit lagi masa.

Kadang aku bersyukur, diberi rasa sedih dan rindu ini. Buat aku sakit dan mahu bergerak. Buat minda aku mahu buat sesuatu. Aku meratap terlalu lama, dan masih meratap terutama saat aku menulis ini. Tapi tiada apa yang aku buat. Hanya kerana aku sudah buat keputusan.

Keputusan yang perit. Situasi kalah kalah. Aku tidak menang dia, dan aku tak tahu mungkin bagi dia ini adalah sesuatu yang 'kalah' bagi dia. Mungkin... Tapi hati dia baik. Sedikit sebanyak dia merasa kesakitan aku. Aku tidak berharap, tapi aku faham dan tahu...

Melihat si dia semakin sihat, aku fikir aku juga patut sihat. Bekerja sahaja buat aku sihat. Buat aku berhenti meratap. Dia tidak sakit, semakin sihat tu... haha... si dia faham aku fikir. Melihat itu memberi aku senyuman. Kegembiraan.

Mungkin ini kebahagiaan aku...

Aku tak ramai kawan, yang ada ini yang betul-betul kawan. Yang lain hanya sejarah. Aku tak ramai keluarga. Yang ada ini betul-betul keluarga aku. Yang lain hanya pertalian darah. Mengingat ini membuatkan aku rasa bangun untuk mengejar cita-cita aku. Bukan untuk menunjukkan orang yang aku hebat, tapi menjaga kawan dan keluarga aku dari ancaman sejarah dan pertalian darah ini.

Ini perang aku....

Dan kerana itu aku sedar peranan si dia dalam hidup aku. Orang macam aku perlu daya yang besar untuk sedar. Bila terhantuk, aku masih tidak sedar. Hanya bila aku lihat ada darah mengalir dari hati aku baru aku bergerak.

Ini cara aku, hidup aku. Dan ini jalan aku. Huhu... post tiada makna. Aku hanya menulis. Tiada makna apa-apa. Aku nak sambung kerja. Mahu melihat jika ada cebisan idea, atau harapan dalam kajian aku. Melihat masa lepas bersama si dia... aku positif... aku akan temui kebahagiaan aku... walaupun bukan lagi bersama si dia...

Aku ucap selamat...

Monday, March 4, 2013

Baik-baik...

Orang selalu beritahu aku, setiap yang berlaku pasti ada hikmah. Sebab kita diajar untuk redha. Redha segala yang telah Allah tetapkan untuk kita.

Tapi tak mudah aku boleh terima. Tidak, aku bukan macam tu. Kerana Allah tak jadikan aku pelupa akan sesuatu yang terjadi kepadaku. Aku ingat, dan kerana itu kemarahan aku sukar nak padam.

Hi, lama tak menulis... Tiada benda sangat nak menulis. Fikiran aku berat sekarang kerana sedang mengejar minatku. Aku tidak pasti mana hujungnya kelak, tapi aku yakin jika aku terus hidup dengan minatku, biar apa terjadi pada aku sekalipun, aku tetap mampu senyum.

Perasaan? Masih sama. Betul, tiada yang berubah pun. Kerana itu bukti aku masih ada perasaan. Marah itu kerana aku merasa sayang. Jika si dia bukan sesiapa, aku tidak akan pedulikan dia. Namun, untuk aku mengejar...

Betul, ini tiada kesudahan. Kerana aku bukan pemaaf. Seperti team hacker anom, aku tidak lupa, tidak akan memaafkan... dan ini tidak akan ada kesudahan. Aku mahu berkata sesuatu, tetapi aku fikir esok lusa aku akan lupa. Kemarahan ini akan membakar setiap rasional yang aku ada untuk memaafkan si dia.

Tetapi, melihat aku sekarang, dengan masa yang lama berlalu, aku fikir siapa lagi aku untuk si dia ingat. Aku hanya hantu, tiadanya wujud lagi dalam fikiran... kerana aku buangan, lebih baik dilupakan. Tiada yang baik mengingati aku sekalipun.

Dan kerana itu, aku diam. Aku buat kerjaku sendiri. Diam. Tiada peduli kepada sesiapa yang mahu peduli, dan sesiapa yang tidak mahu peduli. Maaf dan marah ini tiada makna lagi untuk orang lain walau bagi aku ianya amat memakan diri.

Dendam...

Ini tidak akan ada kesudahan. Dan jika dalam diri aku ada kesilapan besar, ini adalah salah satunya. Membenci dan berdendam. Tiada dalam satu hari aku buka mata memandang dunia dengan rasa hidup. Apa yang aku lihat hanya api.

Masa membiarkan diri aku dibakar barangkali sedang berakhir. Aku fikir tiba masanya aku guna api ini sebagai sumber semangat untuk aku kejar apa yang aku impikan. Bila fikir balik, ini seakan bangang. Ironi...

Ironi kerana si dia sumber inspirasi. Ketika dahulu kerana sayang. Ketika sekarang kerana dendam. Sumber inspirasi. Muse...

Mungkin betul orang kata, dia jodoh aku. Bukan untuk bersama. Tapi untuk aku hidup. Untuk aku teruskan hidup. Kerana hanya daya sebegini buat aku bangkit untuk melakukan sesuatu. Kerana kenyataan benar tentang perasaan aku adalah kerana aku cinta, dan kerana itu aku benci, dan kerana semua ini aku mahu bangkit.

Tapi jauh dalam hati aku, jika melihat si dia bahagia, aku turut merasa bahagia itu. Mungkin masalah aku bukan kerana aku tidak memaafkan si dia. Tetapi aku tidak mahu menerima si dia. Biarlah si dia dengan sesiapapun yang mampu bahagiakannya, aku yakin aku juga akan merasa kebahagiaan itu.

Jauh sudah 'kecelakaan dibalas dengan kecelakaan' itu dari dalam dari aku. Kerana biar aku sebut dendam sekalipun tiada dalam fikiran aku untuk membalasnya. Malah aku juga tidak sanggup untuk melihat si dia menderita. Tidak dalam mimpi sekalipun jika aku melihat si dia menderita, aku mampu berasa bahagia.

Kompleks. Rumit. Betul. Kerana sejauh mana perasaan aku padanya sekalipun, aku tidak akan menerima. Aku tiada nampak kemungkinan itu. Ini tidak akan selesai.

Jika benar aku telah dilupakan. Aku rasa gembira. Sekurang-kurangnya kurang derita dalam hidup si dia. Orang macam aku, heh... hanya bawa derita kepadanya. Biar dunia bawanya pergi jauh dari aku.

Aku doakan kebahagiaan si dia. Dalam dunia haram jadah ni, tak banyak kebahagiaan yang boleh kita kecapi. Walaupun begitu, aku tetap mahu dia bahagia. Bawa si dia pergi jauh, aku mahu si dia bahagia...

Aku...? jangan risau aku. Aku tidak akan berubah. Buat masa ini tiada mahu aku untuk berubah. Aku akan kejar cita-cita aku. Aku berdoa agar Allah pertemukan aku jodoh yang lebih baik jauh dari si dia. Hanya dengan itu baru aku benar bahagia. Aku percaya, hanya ini jalan untuk aku bahagia..

Cita-cita... dan cinta baru.

Perasaan hanya perasaan. Perempuan kan ramai. Nak emo sangat buat apa. Heh, mode bertukar. Walau baginya mungkin tiada kesudahan rasa cinta dan benci ini. Bagi aku, lama sudah tamat. Kerana sejauh mana rasa cinta aku, sejauh mana rasa benci aku... hakikat untuk menerimanya bukan dalam pilihan untuk aku, aku tidak nampak sebab untuk aku menerimanya.

Sampai masa, aku berhenti menulis. Aku banyak kerja tahu. Aku terbaca sesuatu, dan itu buat aku rasa mahu menulis. Aku harap ini tulisan aku yang terakhir. Kerana masa depan aku, aku lihat ada banyak kemungkinan.

Lagipun kalau berterusan aku menulis sekalipun tiada maknanya. Hanya benda yang sama. Sedangkan keputusannya telah lama aku tetapkan. Walau sudah tiada ruang untuk aku bercinta lagi, aku berdoa Allah beri aku ruang baru. Allah Maha Berkuasa. Kalau banyak kali aku doa Insyallah Allah akan bagi. Aku berharap. Huhu...

Aku doakan kau juga bahagia... Selamat tinggal...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...