Followers

Thursday, September 9, 2010

Ramadhan itu indah...

Ramadhan berlalu. Hati aku sedikit sayu. Dalam seumur hidup aku, Ramadhan ini adalah Ramadhan yang terbaik pernah berlaku dalam diri aku.

Ramadhan kali ni banyak dihabiskan di PLKN. Dan itu yang menghidupkan Ramadhan aku tahun ini.

Seperti kata aku pada entri lepas, hati aku sayu ketika meninggalkan surau di sana.

Bila hampir tiba waktu Maghrib, kami ramai-ramai berkumpul, mengambil makanan masing-masing dan menunggu. Tiba waktu, kami makan bersama. Dan itulah kebahagiaan orang berpuasa, ketika mereka berbuka puasa.

Selepas itu, kami beramai-ramai ke surau menunaikan solat Maghrib. Solat berjemaah. Dan ini amat memberi kesan kepada aku. Sehingga ke hari ini, jika aku niat untuk solat, aku akan tersasul berniat solat jemaah.

Dan aku tahu, Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah solat berseorangan diri seumur hidupnya mampu dilakukan sekarang. Hanya jika aku dalam kumpulan mereka-mereka yang selalu menunaikan solat jemaah.

Zikir Munajat

Menunggu waktu Isyak tidak pula dibuang begitu sahaja, kami berzikir beramai-ramai. Zikir munajat, doa taubat, Asma Al Husna, Ya taiba dan macam-macam lagi. Aku terhibur...

99 Nama Allah
Solat Isyak, selesai kemudian Solat Sunat Terawih 8 rakaat. Tidak dilengahkan diantaranya. Selesai, Solat sunat Witir 3 rakaat. Tidak pernah aku rasa masa itu berjalan, segalanya berjalan tanpa rasa payah.
Ya-Taiba

Selesai witir, dibacakan niat puasa. Peringatan agar esok, agar puasa tidak sia-sia.

Aku rindu setiap detik itu di sana. Aku tak nafi, PLKN memang memenatkan. Still, aku rindu malam itu. Dan kini, Ramadhan berlalu meninggalkan kami, meninggalkan aku. Entah mungkin kita akan bertemu lagi.

Walaubagaimanapun, di kesempatan ini aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua muslim dan muslimah. Maaf Zahir batin... Kita 0-0 ok... huhu...

Selamat2~!

Sunday, September 5, 2010

Pasti letih kau nanti



Tema blog masih tidak berubah. Ya, aku amat malas sekarang untuk melakukannya. Sedang fikir, mencari mood dan menunggu ilham. Tetapi tidak apa lah, kau masih membaca bukan....?

---



"Kamu masih tak mahu menukar pendirian kamu terhadap PLKN"
"Tidak cikgu... tidak seperti rakan-rakan kecil saya... Saya punya hidup di luar sana..."
24 Julai 2010, Sabtu

Entri lepas aku ada memberitahu tentang cuti yang Allah berikan kepada aku. Cuti yang aku maksudkan adalah Khidmat Negara. Ya, aku adalah Pelatih Kem Millenium Kumpulan 3, Siri 7 2010 di Beranang, Selangor.

Terkejut. Kebanyakan kau tahu umur aku mencapai 24, dan agak kelakar bagi aku dan kau. Aku masih terpanggil untuk menyambut seruan kerajaan, berkhidmat untuk negara...

Apa yang aku lakukan di PLKN. Hm...

Minggu-minggu pertama seperti biasa, seperti program lain, adalah minggu suaikenal. Suaikenal lebih kepada di dalam kelas. Ya, seperti di universiti, di sini kami ada kelas. Kelas ini bagi memenuhi keperluan Modul Pembinaan Karakter. Kelas ini lebih menekankan kepada pengenalan kepada diri sendiri, dan fungsi terhadap masyarakat sekeliling.

Bosan? Yup, namun aku tak nafi. Kelas itu banyak mengajar aku. Terutama dari segi mengenali diri sendiri, dan hm... hukum?... menang-menang, menang-kalah dan kalah-kalah. Dan sehingga hari ini aku ingat ajarannya.

Terdapat juga modul fizikal di sini. Aku fikir aku tak perlu terangkan semua. Memadai jika aku katakan aktivitinya seperti kau masuk badan persatuan seperti pengakap atau kadet sekolah, dan kelab rekreasi. Atau kau boleh kata seperti semi-tentera.

Ya, seperti
  • kawad,
  • merentas halangan,
  • wirajaya(camping di hutan),
  • sukan,
  • TTS (Tempur Tanpa Senjata),
  • menembak (Colt M16 5.56),
  • tali tinggi (flying fox dan Rappelling)
  • dan lain-lain (maaf, ada yang aku lupa)

Kemudian, kami juga didedahkan dengan Modul Kenegaraan. Patriotisme adalah perkataan sesuai untuk modul ini. Kami akan didedahkan dengan DKRT (Daulat, Kerajaan, Rakyat, Tanah air). Dan 4 elemen ini adalah asas kepada sesebuah negara yang bebas dari penjajah.

Ya, jangan kau berani laungkan merdeka jika kau sendiri tak faham apakah itu kemerdekaan...

Dan akhir, Modul Khidmat Komuniti. Aku tak berapa perasan bila modul ini dijalankan. Namun bila difikirkan, aktiviti seperti derma darah, dengar ceramah HIV, Dadah dan Jenayah, aku fikir itu termasuk dalam Modul Khidmat Komuniti. Tak banyak nak cerita, kau faham-faham sudah ya...

Menjadi pelatih yang paling tua di PLKN sedikit sebanyak memberi aku cabaran. Kena tunjuk contoh yang baik bukan. Huhu... Ada masa main, kita main. Ada masa serius, kita serius. Aku duduk dalam golongan 18 tahun dan ketahuilah, ia kurniaan Allah, memberikan aku semula umur 18 tahun kepada aku. Huhu...

Cikgu di sana semua ok. Mereka banyak mengajar aku yang aku, dengan diri aku tidak keseorangan. Aku tak mampu hidup seorang. Dan aku perlukan negara dan masyarakat untuk bantu aku untuk terus hidup.

Sedikit sebanyak menjawab persoalan aku tentang cara aku untuk 'survive' di universiti dahulu. Dunia tak mungkin aman bukan, huhu...

PLKN juga menyedarkan aku betapa luas Malaysia ni aku untuk aku terokai. Mendengar pengalaman kawan-kawan 18 tahun aku ni, sedikit sebanyak membuka mata aku tentang masalah sosial sekarang.

Seumur hidup aku, persekitaran aku selalu baik. Sekolah baik, kolej martikulasi baik, dan universiti baik. Hanya di PLKN, aku didedahkan dengan realiti hidup anak muda sekarang. Dan percayalah, aku amat terkejut mendengar cerita mereka, sama seperti cerita di dalam tv dan berita...

Dan itu buat aku sungguh bersedih hati... teramat bersedih hati.

Di PLKN, aktiviti paling best bagi aku adalah apabila kami berada di surau. Ustaz di sana, KAGAT, atau kami panggil gangster memang tegas. Bab agama jangan main. Solat tetap solat. Huhu...

Di surau, aku difahamkan ada segelintir kawan-kawan aku ini tidak tahu membaca, tidak tahu solat. Terkejut? aku ya. 18 tahun mereka hidup, namun benda seasas ini mereka tidak ketahui. Dan itu cukup memberi aku kesedaran, ilmu tanpa amal... tiada gunanya.

Dan setiap malam, keluar dari surau itu, hati aku akan sayu. Setiap itu mata aku mulai berkaca. Kerana hanya tempat itu, adalah tempat paling tenang yang pernah aku pergi seumur hidup aku.

Solat magrib, zikir sehingga Isyak. Dan kalau bernasib baik, ada tazkirah dari Ustaz. Kau boleh fikir sendiri mengapa kan tempat itu tempat yang tenang...

PLKN, pasti letih kau nanti. Aku tak pernah nafi penyataan ini. Datang kena paksa, sampai kena siksa... Namun akhirnya, kami... wira dan wirawati menjadi perkasa...

Aku akan ingat setiap benda yang aku lihat, yang aku dengar untuk kegunaan masa depan. Terlalu banyak untuk dihurai dalam satu entri. Dan kerana itu, aku labelkan Khidmat Negara di setiap entri seperti ini kelak.

"Dan walaupun saya punyai hidup di luar, dan merasakan saya tidak sesuai berada di sini. Namun, saya tetap percaya, PLKN amat penting untuk generasi akan datang, untuk adik-adik saya di sini kelak. Untuk anak-anak saya kelak."
"Kenapa PLKN penting bagi kamu?"
"Kerana saya di sini, mampu mempelajari sesuatu yang tidak saya pelajari dalam 24 tahun saya hidup. Dan tidak akan mereka pelajarinya selagi mereka tiada hasrat untuk mencarinya. Hanya di sini, mereka akan mempelajarinya. Hanya di sini, mereka akan faham kenapa, penting bagi mereka untuk berkhidmat untuk negara..."
2 September 2010


Ibubapa sekalian, adakah kamu tahu anak kamu berada di mana sekarang...? Tik Tok Tik Tok... Aku berdoa agar mereka selamat dan jauh dari api neraka kelak... Aku ucap selamat...

Saturday, September 4, 2010

Pendahuluan kita...

Buka lembaran baru. Aku maksudkan blog baru. Namun daya nak menghias, nak mencantikkan atau nak menulis sentiasa tiada. Cerita banyak di kepala, namun tak terluah dengan ayat. Dan aku tak faham kenapa.

Ok, terlalu emosional. Kita selangkah mahu ke hadapan. Be rational...

Seperti yang kau tahu, nama pena aku msuhaimi2007. Penulis blog Rasional & Emosional. 4 bulan lepas merupakan masa yang sukar bagi aku. Ditentang oleh perasaan yang amat dahsyat aku fikir, sehingga aku hilang fikiran, melepas amarah merata.

Dan ketika kini, di saat Rasional ini dicipta, aku sedar... Luahan emosi di sini tidak mendatangkan apa. Hanya gelak ketawa orang di luar sana.

Walaubagaimanapun, sekarang aku ok. Tidak makan ubat, tidak jumpa doktor. Aku pulih. Betul, penyakit hati yang masa dan suasana pengubatnya.

Aku bersyukur, Allah amat sayangkan aku. Dia alih aku ke tempat lain bercuti, berehat agar aku lupakan perkara dahulu.

Sekarang, aku fikir aku mampu untuk pandang hadapan. Punya misi baru, punya hati aku... Aku tahu... aku pasti mampu lakukan...

Aku ucap selamat kepada kau orang semua...

Friday, September 3, 2010

Salam...

Ini blog baru aku. Aku faham, url-nya masih sama, namun nama blog ini lain. Aku buangkan emosional kerana aku fikir kini, aku mahu menulis sesuatu yang lebih rasional dari emosional.

Walaubagaimanapun, blog lama aku kau boleh lihat di http://arkibmsuhaimi2007.blogspot.com/

Aku sudah berhenti menulis di sana. Sekarang, fokus aku hanya di sini... Di rasional...

Aku ucap selamat ya...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...