Followers

Gamers

Tuesday, May 21, 2013

Aku bermimpi...

Sejak Jumaat lepas, aku sukar tidur malam. Hm... Mungkin bukan sukar... tapi kerana aku mengalami mimpi dari memori yang aku mahu lupa...

Baru-baru ini tidur membawa aku ke masa silam. Masa aku masih tidak segila ini. Saat manis aku dan si dia. Dan ada beberapa benda yang aku lupa tapi akan kerana mimpi ini aku teringat semula.

Semuanya terlalu jelas. Terlalu buat aku rasa sakit dan jengkel.

Tiada satu hari aku bangun dari tidur tidak mengingati si dia, dan tidak pula ketika mengingati si dia dapat memadam amarah ini.

Dan di tambah dengan mimpi ini...

Sudah 4 hari Allah uji aku. Menghindari aku dari tidur, membuatkan aku untuk bekerja semula. Hanya bila aku penat... baru aku mampu tidur. Siang dan malam tiada beza lagi untuk aku.

Dan kerana ini aku berdoa... semoga esok hari tidak berlaku lagi. Aku hanya mahu hidup, kerja seperti biasa... Biar apa pun ingatan dan khayalan datang pada aku, aku tidak akan dapat menerima si dia lagi. Biar aku tenggelam dalam dunia kerja aku. Jangan ganggu ketenteraman hidup aku.

Dan aku berdoa agar diringankan ujian ke atas aku. Aku tiada daya mahu berfikir dan menangani hal lain selain kerja aku. Biar aku hidup dengan kerja aku... Aku tak mahu bayangan dan memori ini mengganggu.

Aku ber doa... agar diperkenankan permintaanku ini... Amin...

Aku tidak mengantuk. Aku tiada pilihan lain. Aku perlu kerja... Datang idea baru sebelum aku mahu masuk tidur tadi. Aku ucap selamat...

Thursday, May 9, 2013

Resah...

Resah... gelisah....

Baru-baru ni aku sedang membangunkan satu sistem trading secara mekanikal. Setelah 2 bulan back-test, main-main formula kat Excel dan cuba ubah fikiran lama aku, aku fikir aku jumpa apa yang aku cari.

Nah, minggu ni aku baru forward-test. Memandangkan PRU-13 dah habis dan takde dah sms-BN-buang-duit yang menganggu, aku jadi senang hati nak mula kerja. Perabih duit tapi menangnya tak ke mana... Macam haram.

Ok, cukup politik...

Ada banyak benda yang dulunya 'Iron man rule' yang aku ubah dalam sistem aku kali ini. Aku ada menulis perkembangannya tapi rasa ralat nak post kat blog. Memandangkan aku suka berceloteh dan mengarut. Orang nak result je, tanpa tahu penat lelah aku macam orang gila duduk depan pc ni mengkaji.

Market tak macam dulu. Terlalu rawak. Tidak tenang. Banyak ilmu yang aku belajar dahulu menjadi lapuk. Aku perlu ada pemikiran baru. Idea baru, tapi aku tidak membuang ilmu lama ni. Ada yang masih boleh pakai.

Resah.. gelisah bila tengok market macam haram.

Sistem trading aku kali ini lebih ke arah mekanikal. Lebih ke arah boleh-buat-robot. Trade macam robot. Kira macam robot. Aku emo lebih jadi adalah baik trade cara mekanikal menjadi sistem untuk aku ikut kali ini.

Tiada lagi SR line. Tiada lagi naked trade. Aku bergantung kepada price action, momentum market dan RSI. Semua aku formulakan dalam Excel, buat back-testing. Untuk forward-test, aku bergantung penuh dengan kiraan dari Excel aku. Jika Excel kata takde trade, jadi aku main game. Kalau ada, well... masa untuk buat duit.

Dalam mencari sistem trading yang bagi aku mekanikal dan baik, ada beberapa perkara aku ubah pada iron rule trade aku.
  • Guna RSI untuk menilai momentum; Kau boleh kaji formula di sebalik RSI. Dia mengira dari segi perubahan nilai, dan ambil purata. Sesuai dengan kaedah yang aku selalu guna bila mengira RR ratio dan WL ratio. Jadi, dulu tak suka indikator, sekarang aku guna semula.
  • SL besar, TP rendah. Bagi melipat-ganda peluang untuk cepat tutup order dengan profit; Setakat ni, nisbah TP:SL aku lebih kurang 5:12. Perlu menang 3 kali untuk sekali kalah. Tapi peluang nak kena TP berbanding SL adalah 3:1. Backtest menunjukkan pencapaian baik. Jadi aku hanya perlu tunggu keputusan forward test. Dulu, aku takkan guna RR (Reward to risk) ratio kurang dari 1:2.
  • Fleksibel; Walaupun aku trade mekanikal. Ada situasi membenarkan aku cut-loss cepat, ambil titik order yang lebih baik, cut-profit cepat tapi ganti dengan titik order yang lebih baik. Rumit, bila fikir balik aku pun jadi tak faham. Sebab tu aku letak semua formula rumit ni kat Excel aku. Biar dia kira, aku ikut je. Berbanding dulu, aku pasrah je kalau kena SL atau TP. 
  • Trade Full-Margin. Dari dulu aku cuba mencari ini. Mungkin sekarang aku mampu untuk trade full margin. Perlu lihat forward test result dulu.
Keresahan aku menjadi-jadi bila aku forward test sebab dalam minggu ni aku jumpa;-
  • Kelemahan sistem ni bila market raging, sideway. Kalau market satu arah, aku senyum. 
  • Terlalu banyak order dalam seminggu, sedikit sebanyak menganggu gugat MM aku. Takut tak cukup margin nak masuk trade baru.
  • Aku risau hari Jumaat memandangkan aku takkan tahu apa terjadi pada Sabtu dan Ahad. Gap pada hari Isnin mungkin buat aku tergamam jika terlalu banyak open order.
Aku tulis satu nota dan lekat atas monitor komputer aku.

Market is smarter than you...

Tiap kali aku baca, aku jadi rendah diri, ralat nak memandai cuba masuk trade luar dari sistem aku. Ada ketika aku tunjuk jadi tengah kat nota ni, marah mungkin. Tapi itu hakikat dia. Market lebih bijak dari aku. Bila aku backtest, forward test, aku sedar...
  • Market terlalu besar untuk aku lawan.
  • Musuh sebenar adalah broker, memandangkan ini bukan lagi zero-sum-game. (Requote)
  • Aku dan hanya aku mungkin tak boleh menang dengan inspirasi, tapi aku boleh menang dengan statistik dan matematik rumit. (tak rumit sangat, tapi leceh)
  • Banyak berlaku kat market yang pelik dan diluar kemampuan aku untuk memahami dan menilai. Jadi, sistem aku harus sentiasa dikemaskini bagi memastikan ianya tidak luput.
  • Tidak perlu terlalu pandai, hanya perlu bijak. Namun tetap patuh dengan peraturan asas. Tidak perlu resah dan penat. Rehat, dan tenang...
Huhu... aku membebel aku fikir. Aku suka kerja aku sekarang. Aku menulis ini untuk aku di masa depan. Idea lama harus aku tinggalkan. Ini adalah gagasan baru untuk aku teruskan kerja aku dan mula hidup dengan lebih baik. Ok, nak mula kerja. Aku ucap selamat...

Friday, April 19, 2013

Dagang...

Dalam trading, sifu aku kata... Loss is ineviatble. Rugi adalah sesuatu yang pasti. Jadi trick dia, kalah sesekali, untung banyak kali. Dan sebab itu aku diterapkan penggunaan MM yang betul.

Ya, aku takkan boleh ubat emo aku. Tapi nak juga sesekali menulis benda lain selain emo ye tak?

Game sense

Aku bukan trader yang baik, itu aku jujur kata. Sebab aku ada banyak kelemahan, terutama benda-benda berkaitan dengan psikologi dan pandangan aku berkenaan dengan duit dimana aku taknak kongsi di sini. Dan satu lagi kelemahan aku adalah kurangnya orang panggil 'game sense'.

Ya, kawan-kawan. Trading is game. Dan dia ada rule. Ada peraturan di mana kita tak ikut, game over. Atau lebih feymes dikatakan Margin Call... 'Game Sense' ni ada orang kata bakat. Tapi aku lebih percaya kepada usaha dan pengalaman. Namun dalam dekat 5 tahun dengan trading, aku tak lihat ada peningkatan 'Game Sense' aku tentang trading. Cara baca graf ke laut. Cara baca market ke laut. Dan kalau ada sesuatu diluar jangkaan berlaku, aku biasanya tiada plan B.

Dan sebab itu cara trading aku lebih ke arah matematik. Statistik dan kalkulus mudah. Tambah tolak sana sini, amik pukul rata. Kira kebarangkalian bakal berlaku dan seterusnya. Aku bukan tak pernah usaha membaca market tapi otak kiri aku lebih ligat dari otak kanan jika kau faham apa yang aku katakan.

Aku ada 3 benda yang aku nampak kat EURUSD yang selalu terjadi dan menarik perhatian aku.

1) Keadaan market di mana ada lebih kurang 7 bar 'laut tenang' dan tiba-tiba datang satu CS besar menolak harga ke arah baru. Kalau belajar TBST memang senang faham.

2) CS pukul 8 pagi Malaysia. Jika CS bullish, trend hari itu bakal bearish, dan juga sebaliknya. Masih mengkaji tapi nampaknya cam kurang harapan.

3) Pin bar selepas CS besar. Adakah patut masuk terus melawan CS besar, atau letak PO beberapa pip dari kepala Pin Bar.

Buat masa ni, no 1 nampak baik tapi perlu mahir untuk kenal pasti 7 bar pertama. Settingnya, letak PO atas bawah. Maaf aku tak mahu kongsi sekarang sebab kajiannya belum lengkap dan satu lagi, minggu lepas aku trade guna cara ni dan untung rugi sama dengan je. Minggu ni loss. Drop the idea? no... sebab bila aku backtest dari Mei 2012, teknik ni boleh bawak pip cuma purata hanya 80 pips sebulan. Sikit? bagaimana kalau aku kata Max floatingnya 100 pip sebulan. Hm...


Spreadsheet

Aku banyak guna spreadsheet (Microsoft Excel. OpenOffice Calculus) bila buat kajian ni. Data datang dari MT4 banyak membantu (bagi yang tak tau, buka MT4, tekan Ctrl+S. Kau akan dapat data setiap CS yang kau nampak kat chart.) dan data mentah ni aku proses guna command IF dll untuk lihat jika aku trade dengan tetapan SL dan TP, boleh untung ke tak. Berapa peratus untung rugi. Macam mana dengan risk/reward ratio dia. Dan sebagainya.

Bayangkan backtest lebih 600 trade dalam kurang sehari. Hanya berbekalkan ilmu IF dalam spreadsheet. Fail excel aku boleh cecah 100+Mb, pertama kali dalam hidup aku tarik formula tak ingat dunia.

Aku suka spreadsheet. Sejak kenal dunia trading, aku kerap guna. Tempat simpan akaun, proses data. Heck, aku buat excel macam komputer dalam komputer. Erk. Aku suka benda matematik dan automatik. Tekan dan dapat jawapan. Hanya sakit jika aku salah guna formula. Paling sakit bila salah faham formula mana yang betul.

Bayangkan, kau dah siap proses data kau yang amik masa dekat satu hari (Ya adik2. untuk backtest 600+ trades, dengan 3 pembolehubah bakal melembapkan pc kau) baru kau sedar formula kau ada salah. Troubleshoot sana sini. Dan buat semula. Tambah lagi satu hari. Tu baru nak dapat data. Belum proses lagi dalam bentuk yang kau boleh faham.

Haa...

Nampak penat, tapi sebenarnya aku sedang bergembira. Having fun. Aku tak fikir cara aku backtest salah memandangkan golongan profesional juga guna spreadsheet bila backtest.

Result

Siap dapat data, aku proses. Benda aku cari mudah. Win/Loss ratio untuk lihat boleh pakai ke kaedah ni. Risk/Reward ratio untuk lihat berapa lot aku boleh guna untuk sekian banyak equiti aku ada. Kadang aku lihat Timing, tengok jam berapa masuk market dan untung. Kadang lihat juga kriteria tambahan bagi memantapkan lagi teknik ni.

Semua ni hanya kebarangkalian. Kajian syok sendiri. Aku hanya bincang dengan orang terdekat. Lagipun sukar nak hurai semua dengan tulisan memandangkan aku tak berapa baik dengan penulisan.

Walaupun dengan semua ini kadang aku bingung bila lihat resultnya macam tak memberangsangkan. Penat dekat seminggu backtest tapi takde hasil. Buat masa ni aku tengah foward-test no 1. Backtest no 2. No 3 masih on hold.

Walaupun begitu aku mengalu-alukan idea. Market selalu gerak dalam keadaan yang serupa, tapi tak sama. Dan sebab itu kerja kita, trader mengagak mana dia nak pergi. Kekurangan game sense dalam diri aku, aku gantikan dengan kaedah kebarangkalian mudah. Letak PO, TP SL, EA untuk breakeven dan macam-macam lagi.

Dan ketahuilah, untuk aku campur tangan pandai-pandai meneka market tiada. Aku dah cuba, aku memang tiada. Game sense. Market sekarang bukan macam dulu. Bukan macam 5 tahun dahulu. Manusia berubah dari segi pemikiran, tapi hanya satu yang mutlak. Tamak... takut tu tak pernah ubah. Dan aku percaya... sejarah akan berulang.

Aku ucap selamat... Hm... aku patut menulis lebih kerap. Melihat post ni menunjukkan betapa tumpulnya aku dalam penulisan... Huhu...

Thursday, March 28, 2013

Tiada makna...

Aku pernah kata, aku harap post yang lepas adalah tulisan terakhir aku. Itu sedih. Kerana blog ini terlalu lama menjadi pustaka rasa hati aku, dan tentunya ruang fikiran aku. Tapi untuk menulis dalam keadaan aku yang tidak stabil dan mudah meletup itu tidak baik. Menampakkan kelemahan orang kata... tidak baik terutama kepada mata-mata musuh aku.

Aku ada musuh ke? ada... Talam dua muka. Ramai... Tapi cara aku hanya berdiam. Aku terlalu tua untuk angkat keringat dan berperang.

Dan bukan itu niat aku menulis. Masih kerana sebab yang sama. Aku penat baru-baru ni. Seperti tiada stamina. Aku sedang perah otak memikirkan idea dalam kerja aku, dan dalam masa sama buat kajian. Meng-ada-kan sesuatu yang tiada bukan senang.

Ditambah pula dengan sifat malas aku untuk bergerak dan beriadah. Tidak, aku tidak gemuk. Aku tidak makan banyak memandangkan aku sedar sifat malas aku. Hanya kadang aku buat senam ringan, supaya darah masuk ke dalam otak.

Penting... Supaya idea itu datang.

Jika aku tidak teringat si dia, aku senang bergembira. Atau beriadah, bermain dan lain-lain benda yang boleh membuang masa. Jika teringat, aku tidak tidur... aku berjaga dan bekerja dan cuba bekerja dengan harapan rasa rindu dan sedih dalam hati hilang. Dan syukur, ini satu-satunya cara untuk hilang rasa rindu dan sedih ini.

Benda yang aku usahakan tidak nampak hasil sangat. Namun aku lihat ada ruang untuk aku baiki dan memyempurnakan. Aku optimis, positif ini akan berhasil. Hanya perlu sedikit lagi masa.

Kadang aku bersyukur, diberi rasa sedih dan rindu ini. Buat aku sakit dan mahu bergerak. Buat minda aku mahu buat sesuatu. Aku meratap terlalu lama, dan masih meratap terutama saat aku menulis ini. Tapi tiada apa yang aku buat. Hanya kerana aku sudah buat keputusan.

Keputusan yang perit. Situasi kalah kalah. Aku tidak menang dia, dan aku tak tahu mungkin bagi dia ini adalah sesuatu yang 'kalah' bagi dia. Mungkin... Tapi hati dia baik. Sedikit sebanyak dia merasa kesakitan aku. Aku tidak berharap, tapi aku faham dan tahu...

Melihat si dia semakin sihat, aku fikir aku juga patut sihat. Bekerja sahaja buat aku sihat. Buat aku berhenti meratap. Dia tidak sakit, semakin sihat tu... haha... si dia faham aku fikir. Melihat itu memberi aku senyuman. Kegembiraan.

Mungkin ini kebahagiaan aku...

Aku tak ramai kawan, yang ada ini yang betul-betul kawan. Yang lain hanya sejarah. Aku tak ramai keluarga. Yang ada ini betul-betul keluarga aku. Yang lain hanya pertalian darah. Mengingat ini membuatkan aku rasa bangun untuk mengejar cita-cita aku. Bukan untuk menunjukkan orang yang aku hebat, tapi menjaga kawan dan keluarga aku dari ancaman sejarah dan pertalian darah ini.

Ini perang aku....

Dan kerana itu aku sedar peranan si dia dalam hidup aku. Orang macam aku perlu daya yang besar untuk sedar. Bila terhantuk, aku masih tidak sedar. Hanya bila aku lihat ada darah mengalir dari hati aku baru aku bergerak.

Ini cara aku, hidup aku. Dan ini jalan aku. Huhu... post tiada makna. Aku hanya menulis. Tiada makna apa-apa. Aku nak sambung kerja. Mahu melihat jika ada cebisan idea, atau harapan dalam kajian aku. Melihat masa lepas bersama si dia... aku positif... aku akan temui kebahagiaan aku... walaupun bukan lagi bersama si dia...

Aku ucap selamat...

Monday, March 4, 2013

Baik-baik...

Orang selalu beritahu aku, setiap yang berlaku pasti ada hikmah. Sebab kita diajar untuk redha. Redha segala yang telah Allah tetapkan untuk kita.

Tapi tak mudah aku boleh terima. Tidak, aku bukan macam tu. Kerana Allah tak jadikan aku pelupa akan sesuatu yang terjadi kepadaku. Aku ingat, dan kerana itu kemarahan aku sukar nak padam.

Hi, lama tak menulis... Tiada benda sangat nak menulis. Fikiran aku berat sekarang kerana sedang mengejar minatku. Aku tidak pasti mana hujungnya kelak, tapi aku yakin jika aku terus hidup dengan minatku, biar apa terjadi pada aku sekalipun, aku tetap mampu senyum.

Perasaan? Masih sama. Betul, tiada yang berubah pun. Kerana itu bukti aku masih ada perasaan. Marah itu kerana aku merasa sayang. Jika si dia bukan sesiapa, aku tidak akan pedulikan dia. Namun, untuk aku mengejar...

Betul, ini tiada kesudahan. Kerana aku bukan pemaaf. Seperti team hacker anom, aku tidak lupa, tidak akan memaafkan... dan ini tidak akan ada kesudahan. Aku mahu berkata sesuatu, tetapi aku fikir esok lusa aku akan lupa. Kemarahan ini akan membakar setiap rasional yang aku ada untuk memaafkan si dia.

Tetapi, melihat aku sekarang, dengan masa yang lama berlalu, aku fikir siapa lagi aku untuk si dia ingat. Aku hanya hantu, tiadanya wujud lagi dalam fikiran... kerana aku buangan, lebih baik dilupakan. Tiada yang baik mengingati aku sekalipun.

Dan kerana itu, aku diam. Aku buat kerjaku sendiri. Diam. Tiada peduli kepada sesiapa yang mahu peduli, dan sesiapa yang tidak mahu peduli. Maaf dan marah ini tiada makna lagi untuk orang lain walau bagi aku ianya amat memakan diri.

Dendam...

Ini tidak akan ada kesudahan. Dan jika dalam diri aku ada kesilapan besar, ini adalah salah satunya. Membenci dan berdendam. Tiada dalam satu hari aku buka mata memandang dunia dengan rasa hidup. Apa yang aku lihat hanya api.

Masa membiarkan diri aku dibakar barangkali sedang berakhir. Aku fikir tiba masanya aku guna api ini sebagai sumber semangat untuk aku kejar apa yang aku impikan. Bila fikir balik, ini seakan bangang. Ironi...

Ironi kerana si dia sumber inspirasi. Ketika dahulu kerana sayang. Ketika sekarang kerana dendam. Sumber inspirasi. Muse...

Mungkin betul orang kata, dia jodoh aku. Bukan untuk bersama. Tapi untuk aku hidup. Untuk aku teruskan hidup. Kerana hanya daya sebegini buat aku bangkit untuk melakukan sesuatu. Kerana kenyataan benar tentang perasaan aku adalah kerana aku cinta, dan kerana itu aku benci, dan kerana semua ini aku mahu bangkit.

Tapi jauh dalam hati aku, jika melihat si dia bahagia, aku turut merasa bahagia itu. Mungkin masalah aku bukan kerana aku tidak memaafkan si dia. Tetapi aku tidak mahu menerima si dia. Biarlah si dia dengan sesiapapun yang mampu bahagiakannya, aku yakin aku juga akan merasa kebahagiaan itu.

Jauh sudah 'kecelakaan dibalas dengan kecelakaan' itu dari dalam dari aku. Kerana biar aku sebut dendam sekalipun tiada dalam fikiran aku untuk membalasnya. Malah aku juga tidak sanggup untuk melihat si dia menderita. Tidak dalam mimpi sekalipun jika aku melihat si dia menderita, aku mampu berasa bahagia.

Kompleks. Rumit. Betul. Kerana sejauh mana perasaan aku padanya sekalipun, aku tidak akan menerima. Aku tiada nampak kemungkinan itu. Ini tidak akan selesai.

Jika benar aku telah dilupakan. Aku rasa gembira. Sekurang-kurangnya kurang derita dalam hidup si dia. Orang macam aku, heh... hanya bawa derita kepadanya. Biar dunia bawanya pergi jauh dari aku.

Aku doakan kebahagiaan si dia. Dalam dunia haram jadah ni, tak banyak kebahagiaan yang boleh kita kecapi. Walaupun begitu, aku tetap mahu dia bahagia. Bawa si dia pergi jauh, aku mahu si dia bahagia...

Aku...? jangan risau aku. Aku tidak akan berubah. Buat masa ini tiada mahu aku untuk berubah. Aku akan kejar cita-cita aku. Aku berdoa agar Allah pertemukan aku jodoh yang lebih baik jauh dari si dia. Hanya dengan itu baru aku benar bahagia. Aku percaya, hanya ini jalan untuk aku bahagia..

Cita-cita... dan cinta baru.

Perasaan hanya perasaan. Perempuan kan ramai. Nak emo sangat buat apa. Heh, mode bertukar. Walau baginya mungkin tiada kesudahan rasa cinta dan benci ini. Bagi aku, lama sudah tamat. Kerana sejauh mana rasa cinta aku, sejauh mana rasa benci aku... hakikat untuk menerimanya bukan dalam pilihan untuk aku, aku tidak nampak sebab untuk aku menerimanya.

Sampai masa, aku berhenti menulis. Aku banyak kerja tahu. Aku terbaca sesuatu, dan itu buat aku rasa mahu menulis. Aku harap ini tulisan aku yang terakhir. Kerana masa depan aku, aku lihat ada banyak kemungkinan.

Lagipun kalau berterusan aku menulis sekalipun tiada maknanya. Hanya benda yang sama. Sedangkan keputusannya telah lama aku tetapkan. Walau sudah tiada ruang untuk aku bercinta lagi, aku berdoa Allah beri aku ruang baru. Allah Maha Berkuasa. Kalau banyak kali aku doa Insyallah Allah akan bagi. Aku berharap. Huhu...

Aku doakan kau juga bahagia... Selamat tinggal...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...