Followers

Gamers

Wednesday, March 5, 2008

Mereka adalah cintaku...

Baring aku melihat siling. Penat dengan urusan dunia yang tak putus-putus memakan masaku yang sedikit ini. Ya, masa. Aku sering tidak merasa cukup dengan masa yang Allah berikan. Mungkin kerana terlalu banyak yang mahu aku lakukan di dunia ini. Sehingga ku rasakan mahu sahaja pecahkan diriku menjadi beberapa bahagian untuk melakukan apa saja yang di hajati...

Dalam kepenatan itu, aku lihat 2 bingkai gambar yang tersemat baik di atas meja. Ya, gambar ayah dan ibu serta gambarku bersama si dia. Memang telah menjadi kebiasaan apabila melakukan sesuatu, gambar-gambar itu sengaja aku dekatkan dengan diriku agar aku selalu ingat, segala yang aku usaha kini hanya untuk mereka dan tentu sekali kerana Dia, Allah yang maha Esa.

Ayah dan ibu. Lama sudah rasanya aku tidak ketemui mereka. Hm, hampir sebulan rasanya. Namun rindu aku ingin menatap wajah mereka. Ya, aku akui aku kurang stabil bila terlalu lama berjauhan dengan mereka. Mungkin kerana aku sentiasa tinggalkan hatiku di rumah. Kerana aku tahu, aku akan pergi jauh melihat dunia, namun aku harap aku ada tempat untuk aku balik. Ya, balik di sisi mereka.

Cahaya Pembuka Hatiku... Baru saja tengah hari tadi aku ketemuinya. Namun pertemuan itu bukan sesuatu yang boleh dikatakan 'mesra'. Masalah itu punca dari aku. Yang sering kali penat dan seterusnya gagal mengawal emosi. Dia hanya terdiam dan berkali-kali minta maaf. Namun aku hanya mengatakan yang tiada apa yang perlu dimaafkan. Kerana aku tahu, dia tidak salah. Hanya aku yang gagal mengawal diri aku sendiri.

Mana datang masalah itu. Penat, itulah puncanya. Baru-baru ini aku memang sering keletihan. Bukan pada jasad tetapi akal. Fikiranku terlalu penat memikirkan urusan dunia. Ya, mungkin sahaja ada sesuatu yang mendorong aku untuk keterlaluan dalam mengejar dunia. Hah, mungkin juga betul kata si dia, aku harus berehat dan menenangkan diri. Ingat Tuhan, ingat Allah.

Ya, dia risaukan aku. Dia sayangkan aku. Namun dalam pendirian aku, tiada pengorbanan dilakukan, tiada kejayaan yang akan dikecapi. Aku baca, aku lihat bagaimana orang lain berjaya. Ya, aku cemburu akan mereka. Aku juga mahu, mahukan kejayaan. Aku buka kedua belah tanganku dan bila sahaja aku lihat yang digelar 'peluang', aku tidak akan segan dan silu mengenggamnya kemas di dalam tanganku.

Gambar aku bersama dia itu aku tatap. Sedikit senyuman terukir di bibirku. Ya, benar katanya. Aku terlalu penat. Diam dia di dalam gambar itu terus tersenyum menenangkan diriku. Hm, mungkin satu atau dua sms harus ku berikan hanya untuk mengucap sayang dan terima kasih kerana hadir dalam hidupku. Tanpa dia, mungkin aku tidak sekuat sekarang...

Aku alihkan pandanganku ke gambar ibubapaku. Ceria sahaja wajah mereka. Haha, aku hidup kerana mereka. Sepasang tangan yang Allah berikan kepada mereka cukup kuat untuk membesarkan seorang manusia seperti aku. Mereka hebat!!! dan aku kagum dengan mereka. Dihatiku, mereka adalah segala-galanya dan sebab terbesar mengapa aku menjadi aku sekarang...

Dua gambar yang tersergam indah. Satu darinya datang dari dua orang yang hebat memberi hidup kepadaku. Satu lagi memberikan senyuman dan harapan kepadaku. Ketiga-tiga mereka adalah kesayanganku. Dan kerana mereka aku gagahkan diriku, mencabar dunia, mencabar diriku. Lihatlah, hanya percaya kepadaku, hanya berikanku masa... aku akan buktikan, semua ini... adalah kejayaan kita... kejayaan semua... hanya dengan kedua tanganku ini...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...