Followers

Gamers

Wednesday, August 29, 2007

Cerita sedih yang...

28 Ogos 2007
Jam menunjukkan pukul 11.30mlm. Aku sedang berada di hadapan lampu isyarat dengan enjin keretaku mati, menyebabkan aku tersadai di tengah-tengah jalan raya. Aku berulang kali cuba untuk menghidupkannya tapi tidak berjaya.

"L, bukan di sini tempatnya, bukan di sini masanya... tolonglah hidup... ya Allah... hiduplah..."

Aku seperti orang gila memekik memanggil keretaku untuk hidup semula namum hampa. Perjalanan balik dari Larkin yang ku sangkakan tidak sampai setengah jam menjadi lebih satu jam. Deruan bunyi hon mulai membingit di belakang namun tidak aku hiraukan.

Lampu 'hazard' yang ku pasang mulai layu.Aku mula berputus asa, jam menunjukkan pukul 12.00pagi...

"Bateri weak la ni..."

Keretaku hilang punca hidupnya. Aku mula menyandar di kerusi memandu memandang langit yang gelap. Hujan mulai turun. Dalam sayup-sayup deruan angin aku lihat bulan mengambang. Agak pelik bagiku awan yang begitu tebal namun aku mampu melihat bulan. Aku terhibur dengan sinarnya, membuatkan aku selesa berada dalam keadaan genting itu...

Kemudian aku pandang keliling, mungkin ada akal yang mampu menyelesaikan masalahku ini. Ku lihat kereta tunda disebelahku yang sedang asyik menantikan lampu hijau. Lantas aku keluar dari kereta dan cuba untuk meminta bantuan.

"Bro, boleh tolong tak? Kereta tak boleh start la. Bateri weak. Boleh tak mintak tolong jumperkan bateri..."

Lelaki yang kugelarkan bro itu senyum dan mengangguk menandakan setuju. Lantas aku pun mengambil wayar jumper di belakang keretaku sambil Bro itu cuba untuk mengambil tempat agar lori tundanya berada pada posisi sesuai. Tak sampai 5 minit, kereta aku hidup kembali. Aku mengucapkan terima kasih kepada Bro tu dan dia pun berlalu pergi. Alhamdulillah, selesai satu masalah.

Jam menunjukkan pukul 12.30pagi. Aku tergamam sambil keretaku menuju ke destinasi yang patut aku tuju, universiti. Bila mengenang kembali apa yang berlaku tadi, hatiku rasa tidak mahu pulang. Hm, mungkin kerana undang-undang universiti yang menghadkan kemasukan pelajar pada tengah malam. Tapi secara jujur, aku peduli apa dengan undang-undang, cuma aku tak mahu pulang sekarang. Hatiku rasa tidak sedap. Aku rasa aku mahu berjalan-jalan menikmati angin malam.

Hatiku tidak sedap... Mungkin kerana hal kawan baik ku tadi. Sebenarnya aku ke Larkin adalah untuk menghantar kawan baik ku ke stesen bas. Dia, setelah lama aku tidak berjumpa tiba-tiba muncul hari ini. Kami semasa sama-sama belajar dahulu banyak berkongsi minat, kiranya memang dah macam adik beradik dah. Dan seperti biasa, bila berjumpa kami akan berbual tentang diri masing-masing. Bila aku dengar kisah dia buat aku rasa sebak. Hm, entahlah. Fikiranku bercelaru...

Aku berhenti di sebuah kedai makan 24 jam. Berehat untuk makan dan minum kerana sejak pagi tadi aku tidak jamah walau sedikit makanan pun kerana lewat untuk ke kuliah. Mataku mengalih pandangan ke arah televisyen. Asyik dengan rancangan kegemaranku, WWF. Kemudian beralih melihat liga bola sepak. Apabila aku merasakan mataku letih, aku lihat bulan.

"Mana aku pergi kau pasti ada bersama aku. Terima kasih..."

Aku tersenyum sendiri. Hah, gila bercakap dengan diri sendiri. Malam ni cukup buat aku merasa tegang namun atas sinar bulan anugerah Tuhan ini, aku mampu tersenyum sendiri dan merasa tenang. Angin malam yang lembut mula membelai mataku yang keletihan. Aku lihat jam.

Jam 6.00pagi. Hm, hari ini kuliah pukul 10 pagi. Aku membayar teh tarik dan roti canai untuk sarapan pagi tadi dan terus ke keretaku.

"Hah...! Sekali lagi..."

Keretaku hilang punca sekali lagi. Aku mulai bingung, mundar mandir melihat kerenah keretaku. Aku pandang langit, sinar yang menenangkan itu masih ada bersamaku. Aku senyum...

"Tak pe, aku masih punya teman..."


Kulihat ada cyber cafe masih buka. Aku masuk ke dalam untuk melayari internet dan...
Di sinilah aku, menaip apa yang berlaku pada hari ini... Jika ditanyakan pendapat aku tentang hari ini.. Hm, aku tak fikir ianya hari yang malang mahupun hari yang baik... Kerana malam yang ku lalui ini mempunyai banyak makna yang aku sendiri tak pasti... Kata orang setiap kejadian ada hikmah... Aku perlu pergi, nampaknya ada insan mahu membantu aku. Heh, aku perlu memikirkan sesuatu tentang masalah kereta aku ni... Tapi bila fikir balik, hari ini aku terlalu mengikut perasaan... Kalau tidak, masakan aku masih di sini, bercerita tentang apa yang berlaku kepadaku... Aku tewas kepada emosional. Hm, bilakah aku harus bersikap rasional...

Habeh...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...