Fikiranku terus melayang, dan melayang. Namun belum sempat aku berpaling, fikiranku menempatkan dirinya ke kota larangan. Ya, parut hatiku yang belum pulih. Parut hatiku yang lama bersarang di situ.
Sedikit air mataku mengalir tanpa sempat egoku menahan. Kata orang, jika kita terlalu benci dengan orang, maka orang itu orang yang paling kita sayang. Mungkin betul kerana sehingga hari ini, apabila aku mengingatinya, hatiku sakit, air mataku mengalir... sedih, kecewa dan pilu... semua sifat negatif yang ada pada perasaan yang lahir.... sebuah cinta.
Fikiranku meneruskan pelayarannya ke 8 tahun tahun dahulu. Ketika aku baru mengenali dia. Ketika itulah aku mengenali... rasa menyukai, rasa disukai... rasa menyayangi, rasa disayangi. Dan sebelum aku sedar, aku menyintai...
Namun semuanya musnah. 3 tahun itu musnah. Hanya kerana perasaan simpati. Hanya kerana iri hati. Hanya kerana batu api. Ya, aku salah kerana setia. Ya, aku salah kerana bodoh tidak bermain kayu tiga. Kenapa harus aku menjadi mangsa. Di dalam suasana aku yang sememangnya kritikal ketika itu, aku harungi seorang diri. Dan saat itu aku tahu, sepi dan sunyi, tiada anehnya dalam kehidupanku.
Dendam. Aku simpan, aku balut, aku lumatkan di dalam hati aku. Dengan tiada ku sangka, dia mengubahku. Namun, masih ada hati yang masih ingin bertaut dengan hatiku. Mungkin juga mahu melepaskan aku dari belenggu perasaan ini. Mungkin juga kasihan dengan penderitaan yang ku alami.
Kejayaan terus aku kecapi sehingga ke menara gading. Hidupku senang, temanku ramai, bisa buat aku lupa tentangnya. Ya, aku belum cukup matang ketika itu. Pantang diusik luka itu, pasti buas dendam itu melebarkan tangannya dan memeluk erat setiap perihal lakuku...
Setitik ia jatuh, darah dari luka kenangan itu. Setitik lagi ia jatuh, membuka luka itu. Dan titisan itu terus mengalir, dendam terlahir. Kerana jahitannya diusik sedikit. Maka terlahirlah seorang insan pedendam.
Bagai di rasuk, aku putuskan hati yang sedang bertaut.Ya, satu hati perlu dikorbankan. Dengan satu visi, kau akan menerima pembalasan. Dengan satu misi, pelajari dari apa yang ku lalui dahulu. Hari ini kau tumbang dalam kenangan kasih dan sayangku dahulu. Sayangilah aku, kasihilah aku, rinduilah aku dan cintailah aku. Dan bila ia sudah masak, kau akan ku gelap gelitakan perasaanmu. Nah, itulah apa ku rasakan sekitar tahun dahulu...
Namun, selepas beberapa ketika peristiwa dendam itu, emosiku tidak stabil. Perasaanku penuh dengan benci. Ya, bencikan kaum Hawa. Bencikan mereka yang sentiasa enteng membuat keputusan. Biarlah apa sahaja mereka lakukan. Menjadi ketua, memandu, berfikir dan segalanya.
Namun Allah masih sayangkan aku. Ya, hambanya yang amat cetek pemikiran. Lalu Dia kurniakan aku sepasang mata. Mata yang aku pernah guna dahulu. Mata yang memandang cantik kepadanya. Kepada kaum Hawa. Mata hati, yang ketika ini masih ku gunakan untuk menikmati mereka. Senyuman mereka, telatah mereka, percakapan mereka dan hati mereka...
Sedikit demi sedikit aku menjadi manusia. Ya, manusia yang tidak kurang perasaannya. Aku mula senyum, kemudian ketawa dan kemudianya riang. Seperti aku dahulu, tiada lagi dendam, tiada lagi balas membalas...
Hampir 8 tahun berlalu setelah aku mengenali dia. Benci, ya... namun aku tidak lagi berdendam. Luka itu masih ada. Namun tidak lagi berdarah. Aku kini mampu mengawalnya. Jika suatu hari aku bertemu dengannya, aku hanya mahu parut itu hilang. Hilang bagaikan ia tidak pernah berlaku kepadaku. Seperti ia diubati dengan ubatan yang mujarab.
Jika bertemu dengannya sekali lagi, aku harap aku mampu memberinya senyuman. Ya, senyuman... senyuman tanda aku tidak lagi merasa benci kepadanya. Ya benar, aku sayangkan dia dan kerana itu aku tidak menjadi aku. Tapi kini...
Kini aku tenang. Aku boleh menerimanya (kenangan). Angin berlalu lagi mengesat air mataku. Aku tutup mata dan tenangkan hati. Hm... senyum aku sendiri. Mungkin kerana aku masih lagi berdiri menjadi manusia. Mungkin juga kerana aku masih ada perasaan. Tetapi apa yang aku tahu, walaupun aku sunyi, aku masih punya teman, kawan dan sahabat.
Luka aku yang dulu aku pasti Allah ada sediakan ubatnya. Ya, hanya dia ubatnya. Aku yakin hanya dia. Bukan dia, bukan cahaya. Hanya dia. Yang satu hari nanti akan berkongsi hidup denganku. Hanya dia, teman sehidupku. Aku akan tunggu dan dalam masa yang sama aku akan perkasakan diriku. Menjadi seorang lelaki... ya seorang yang dia boleh gelarkan lelaki... yang melindunginya...
Dia... Dia telah rasa apa sahaja yang aku rasakan dahulu. Dan aku tak mahu untuk dia terus merasainya. Hiduplah, carilah kebahagiaan diluar sana. Pasti ada yang menunggu kamu. Dan jika kamu sudah menjumpainya, maka hargailah dia. Kerana dia pastinya sepertiku, insan yang punya perasaan ingin di kasihi, di sayangi dan di cintai. Aku akan sentiasa memerhatimu dari sini, dari hati ini. Dan janganlah kamu sewenang-wenangkan perasaanmu, kelak akan jadi sepertiku dahulu.
Cintaku datang, cintaku pergi... jangan risaukan aku kerana aku yakin. Ia akan kembali... Kembali dalam bentuk lain. Bentuk kepada sesuatu yang tidak bisa aku menggambarkan sekarang. Dan berakhirlah di sini... sebuah sejarah, sebuah pengajaran dan sebuah penghayatan.
Angkat mukamu, lihat di sana. Aku sedang memerhatimu. Dan berbaik-baiklah kamu di sana. Kerana aku sendiri, dengan mata ini sentiasa memerhatikan kamu... Kekasih laluku...