Followers

Gamers

Saturday, May 24, 2008

Prolog ke Epilog

Prolog
Tekak mula terasa panas. Bahang bak api ada di dalam. Huu... Aku jadi keruhan. Aku kerimasan. Malam ini kurasakan hangat sehangat tangan yang tersepit di celah seterika baju. Maka dengan ini aku mulakan kisah...

Hari 1
Badanku mula meningkatkan amarahnya. Panas, namum kerja harus ku buat. Aku bingkas bangun untuk membersihkan diri, solat dan seterusnya menikmati sarapan pagi. Tidak seperti pagi-pagi biasa, ia adalah pagi yang sangat melemahkan aku.

Sesampainya aku di tempat kerja, tekakku rasa perit. Oh, ini sudah beri petanda. Aku tidak endahkan. Hanya seteguk air ku berikan kepada tubuhku dengan harapan, ia akan sembuh dengan sendirinya.

Sangkaanku meleset. Pada makan tengah hari, degup jantungku mulai laju. Hidungku mulai dibanjiri air. Kepalaku mulai sakit.

"ini sudah lebey...."

Sebelum ku sedar, aku disambut oleh alam gelap yang membinasakan setiap deria-deriaku. Aku demam.

Berbekalkan semangat yang kental, petang itu aku turun juga untuk bekerja. Berbekalkan baju lengan panjang dan tambahan bekalan air, aku senang-senangkan diri menerjah keinginanku, kerja.

"Ah, sikit saja... Hilanglah nanti.."

Sekali lagi tubuhku menidakkannya dengan gigilan sejuk merayap di setiap jalur kulitku. Aku mula mengigil. Tangan ku genggam erat mencari sedikit kekuatan dan kehangatan. Keinginan mula sedikit mendahului dan hari itu aku lepas dari segala perilaku tidak sedarkan diri.

Mungkin sedikit tolol, atas rutin mahu bersih setiap kali menghadap-Nya, kepala ku basahi. Selesai solat, arah angin mula merubah dan menyerangku. Aku melutut menahan sejuk.

"Akkkk... sejuk..."

Aku mengigil. Sekelip mata aku mencapai baju tebal dan selimut membungkus diri hingga malam lenyap mengambil kesedaranku...

Hari 2
Hari sudah lama berlabuh. Namun mataku tidak menguak seperti hari-hari biasa. Ku lihat jam. Ya, masanya sudah sampai untuk aku ke klinik. Itu adalah aturan semulajadi. Dah sakit, pergi la klinik.

"Oh, kamu demam panas. Tinggi ni..."

Aku hanya menganggup memaksa senyum. Terima kasih doktor kerana memberitahu perkara yang sudah aku ketahui. Sedikit contengan, barangkali lukisan hasil nukilan doktor tersebut, maka dapat la aku 2 hari percutian untuk seorang di atas katil dan hadiah berupa pil warna-warni dengan not bernilai RM (-30). Datang lagi...

Aku balik. Dalam anganku cuma ada tilam. Namun perut harus di isi. Hidangan yang disediakan oleh mak tak aku lupa untuk disimpan di dalam perutku. Lega. Lalu aku mengambil gula-gula pahit itu dan terus lena.

Tak semudah itu. Anasir itu masih belum mahu mengalah. Selagi aku dinyahtoksikkan, selagi itu dia tidak akan berputus asa. Selingan gegaran bersin dan batuk silih berganti. Akibatnya, salur pernafasanku tersumbat dan aku hilang mulai hilang minat untuk tidur. Siang itu meragut segala nafsu dengkuranku...

Pandanganku mula kabur. Badanku semakin sejuk. Kepalaku semakin sakit. Aku hanya mampu bernafas menggunakan mulut. Dan dalam keadaan yang sedar tak sedar, aku hilang dari kesibukan hari itu.

Hari 3
Aku sedar semula. Ku lihat sekeliling. Menganggap berat tanganku... ya, aku masih hidup. Syukur kepada-Nya. Tanpa ku perasan, aku mula menjadi manusia biasa. Aku mula bernafas menggunakan hidung. Oksigen pagi itu aku hirup semahu-mahu paru-paruku. Ya, aku masih hidup.

Namun aku masih sakit kepala. Aspirin mulaku ketagih. Tak ketinggalan juga pil-pil warna warni lain. Putih, hijau dan kuning, semua menjadi darah dagingku pagi itu. Kepalaku mula tenang. Tiada lagi pasar seni atau pasar malam berlabuh di fikiranku.

Aku hinggap di peti warna, menikmati cuti sambil membesarkan perut. Aku mulai sihat. Alhamdulillah.

Epilog
Aku kini sihat. Hari ini aku pergi kerja dengan wajah yang ceria walaupun dah takde kerja dah untuk aku dekat sana. Kesemuanya mereka sapu bersih ketika aku bercuti. Maka aku hanya duduk bersantai menikmati tulang yang baru aku curi sebentar tadi. Inilah hari-hariku menempuhi... suka dan duka-duka menikmati kesengsaraan itu... Demam...

Diriwayatkan dari Hasan Basri RA bahwa Rasulullah SAW bersabda:

"Seseorang yang sakit panas, maka demam yang dirasakan itu menjaganya dari api neraka."

Kepada yang sedang demam, jangan mengeluh k... ada hikmah di sebalik setiap kejadian... Salam...

Sumber
http://pesantren.or.id.29.masterwebnet.com/ppssnh.malang/cgi-bin/content.cgi/artikel/nasihat_kyai/amm-23mar07.single
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...